AMARAN PENIPUAN!

LAWATAN SIASATAN CUKAI

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menjalankan aktiviti siasatan sebagai salah satu langkah penguatkuasaan dan untuk memastikan kutipan hasil menggambarkan potensi sebenar pertumbuhan ekonomi negara serta bagi membanteras aktiviti pelarian dan pengelakan cukai. Lawatan siasatan cukai juga dilakukan secara menyeluruh dengan memberi keutamaan terhadap kes berprofil tinggi dalam usaha meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela.

Lawatan siasatan cukai akan dilakukan ke atas premis perniagaan, kediaman peribadi serta premis ejen dan pihak ketiga tanpa pemakluman awal kepada pembayar cukai. Bagi mengelakkan kesukaran di pihak pembayar cukai, siasatan akan dijalankan secara profesional, bertimbangrasa dan dengan cara yang munasabah mengikut peruntukan dan peraturan-peraturan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagaimana untuk mengelakkan penipuan Lawatan Siasatan Cukai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?

Pembayar cukai mestilah:

i. Memeriksa kad-kad kuasa yang dibawa bersama oleh pegawai-pegawai penyiasat tersebut.

ii. Meminta pegawai penyiasat memberikan peruntukan tertentu dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 yang berkaitan dengan lawatan. Sila semak jawapan yang diberikan dengan cara menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1-300-88-3010.

iii. Meminta nombor telefon, nama penuh dan pangkat pegawai kanan yang menyelia aktiviti siasatan tersebut. Hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1-300-88-3010 untuk pengesahan identiti yang diberikan.

iv. Pengesahan identiti pegawai kanan yang menyelia lawatan siasatan cukai tersebut juga boleh dilakukan dengan cara menghubungi nombor yang tertera pada kad kuasa, meminta nama penuh dan pangkat beliau, seterusnya mengesahkan identiti beliau dengan menghubungi Talian Khidmat Pelanggan kami di talian 1-300-88-3010.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Rangka Kerja Penyiasatan Cukai yang diterbitkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia melalui laman web rasmi di www.hasil.gov.my atau klik pada url http://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/RangkaKerjaPenyiasatanCukai_1.pdf

Make a Free Website with Yola.